fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN dan GCC akan fokus isu Palestin-Israel

RIYADH, 18 Oktober - Konflik Palestin-Israel menjadi antara agenda utama yang akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak pertama pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dihoskan Arab Saudi di Riyadh, esok.

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang kemuncak tersebut menjadi peluang terbaik mengadakan perbincangan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.

Pentas ASEAN-GCC menjadi peluang ketua negara ASEAN dan negara teluk untuk lebih fokus dan bertukar-tukar pandangan bagi menangani penderitaan rakyat Gaza.

Ia selari pendirian tegas Perdana Menteri, bahawa Malaysia memberi sokongan penuh kepada rakyat Palestin, termasuk menggesa genjata senjata segera dilaksanakan.

Pada masa sama, Anwar turut menyampaikan komitmen Malaysia yang akan menyalurkan 100 juta ringgit bantuan kemanusiaan kepada Palestin menerusi pelbagai barangan keperluan.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/FOTO BERNAMA)

Jumlah bantuan berkenaan akan disalurkan khusus kepada tabung kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Palestin.

GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mula menjalin hubungan dengan ASEAN pada 1990.

Sidang kemuncak itu akan membincangkan hala tuju masa depan hubungan ASEAN-GCC sesuai dengan hasrat ASEAN mengikat hubungan lebih luas dengan negara Asia Barat.

Selain Perdana Menteri, ketua negara ASEAN yang sudah mengesahkan penyertaan termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Media Baharu