THE HAGUE, 23 Februari- Israel perlu berhenti mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri.
Demikian tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.
Malaysia turut menyeru agar semua negara tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas Palestin serta menekankan kewajipan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan tanggungjawabnya berhubung isu Palestin.
"Pemindahan penduduk oleh Israel ke wilayah Palestin diduduki adalah melanggar Perkara 49, Perenggan 6 Konvensyen Geneva keempat 1949.
"(Israel) melakukan jenayah perang juga pelanggaran undang-undang antarabangsa. Dasar dan amalan Israel melanggar integriti rakyat Palestin. Juga perbuatan mengubah demografi wilayah Palestin diduduki, memusnahkan rumah mereka.
"(Malah Israel) mengehadkan kebebasan pergerakan rakyat Palestin, juga beberapa siri menyekat kebebasan (lain) ke atas mereka. (Ia) merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa," tegas beliau pada sesi itu tengah malam tadi.
Tambahnya, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selain Palestin juga diteruma sebagai anggota penuh PBB.
Lebih 50 negara membentangkan hujah mereka mengenai akibat perundangan berhubung pendudukan negara haram Israel di Palestin pada sesi pendengaran awam yang bermula pada Isnin lalu.
Selain itu, tiga Badan Pertubuhan Antarabangsa turut menyertai sesi berkenaan.