fb fb fb fb fb

iCEPS komited bantu Orang Asli perkasa ekonomi digital

DENGKIL, 22 Januari - Tidak mahu masyarakat Orang Asli ketinggalan dunia teknologi maklumat, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di bawah seliaan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) menzahirkan komitmen mereka melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam Program Jendela Digital bersama Orang Asli Kampung Sungai Buah di sini.


Ketua Program Jendela Digital, Khairul Wasiril Aswad, objektif utama program untuk memastikan semangat Keluarga Malaysia dengan menyantuni kaum pribumi selain memperkasakan ilmu pengetahuan mereka dalam menjana pendapatan melalui teknologi terkini.

"Selaras dengan usaha pemulihan pasca pandemik COVID-19, kempen ini dilaksanakan untuk memperkasakan ekonomi Orang Asli melalui pendedahan ekonomi digital dan teknologi semasa.

"Ini merupakan langkah kecil untuk membantu Orang Asli meningkatkan tahap kewangan mereka di samping menjana pendapatan tambahan melalui Jendela Digital," katanya melalui satu kenyataan.

Seramai 50 orang penduduk kampung tersebut mengambil peluang dalam menyertai program ini untuk memantapkan pengetahuan mereka mengenai penggunaan teknologi semasa terutamanya media sosial.

Tambahnya, selaras dengan moto program #DigitalUntukSemua, program ini bertujuan untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan kaum pribumi selaras dengan pengukuhan komunikasi ke arah teknologi 5G dan ekonomi digital.

Program yang julung kali dianjurkan oleh pelajar perhubungan awam tahun akhir UiTM dibimbing oleh Shira Haniza Yaakop, Penyelia Projek dan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media.





Media Baharu