fb fb fb fb fb

30 acara sambutan Hari Wilayah di Labuan

 

 


LABUAN, 22 Januari - 30 acara dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 peringkat Labuan.

Semua acara disusun atur Perbadanan Labuan selaku penyelaras utama mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata, terdapat tiga pengisian utama sambutan iaitu Program Pencahayaan Labuan, pelancaran Kempen Kibar Bendera dan Kenduri Wilayah Persekutuan.

Katanya, selain fokus kepada kebudayaan dan kesenian tempatan, acara dijalankan juga mengambil kira era digitalisasi masa kini.

Rithuan berkata, dengan tema 'Keluarga Malaysia'#SHWP2022, #WilayahKita #Our City Our Home, sambutan itu akan dimulakan dengan pertandingan Cabaran Tik Tok 2022 mulai dari 24 Januari hingga 28 Februari, diikut aktiviti pencahayaan Wilayah Persekutuan pada 30 Januari hingga 28 Februari.

"Walaupun sambutan diadakan dalam persekitaran normal baharu, namun melalui pematuhan SOP Covid-19 dan kawalan semasa perhimpunan, sambutan kali ini akan lebih bermakna apabila kita dapat kembali meraikannya selepas dua tahun pandemik melanda," katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan di sini, semalam.

Rithuan berkata, program lain antaranya ialah pelancaran pengibaran bendera Wilayah Persekutuan pada 3 Februari, bacaan surah Yassin dan doa selamat serta pameran Keluarga Malaysia, jualan kupon tempat letak kereta dan diskaun bagi bayaran saman pakir kenderaan (4 hingga 28 Februari), acara sukan dan muzik (5 hingga 28 Februari) dan Kenduri Wilayah pada 24 Februari.

"Bagi peserta dari luar Labuan, penganjur digalakkan menjalani ujian Covid-19 (jika perlu) sekurang-kurangnya ujian air liur sebelum mereka menyertai mana-mana acara sukan," katanya.

Rithuan berkata semua program berkenaan diadakan setelah mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Memandangkan kami bimbang mengenai kemungkinan penularan jangkitan Covid-19, kami hanya membenarkan 50 peratus kapasiti penonton semasa berlangsungnya kebanyakan acara seperti muzikal, dan kami juga tidak akan membenarkan penonton masuk ke tempat berlangsungnya program seperti Konvensyen Financial Park. Dewan untuk acara Battle of the Band," katanya.

Media Baharu