fb fb fb fb fb

Ibu negara meriah, pengunjung manfaatkan cuti

Ibu negara terus menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk dinikmati bersama keluarga bersempena dengan cuti persekolahan dan cuti perayaan Hari Natal

KUALA LUMPUR, 25 Disember - Ibu negara terus menjadi lokasi tumpuan pengunjung untuk dinikmati bersama keluarga bersempena dengan cuti persekolahan dan cuti perayaan Hari Natal yang disambut hari ini.

Tinjauan RTM di sekitar Kuala Lumpur mendapati gelagat ceria masyarakat berbilang kaum mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan rakyat yang diraikan bersama tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Bagi Nurul Aqilah Norharizal, kunjungan ke bandar memberikan pengalaman berbeza berbanding rutin harian di kampung.

"Seronok sebab dapat datang ke bandar. Selalu duduk di rumah dekat kampung sahaja, jadi bila datang ke bandar rasa seronok sikit," katanya.

Sementara itu, Jong Joo Oii berkata kepelbagaian dekorasi perayaan di pusat beli-belah di Malaysia menjadi tarikan utama, khususnya kepada kanak-kanak.

"Pusat beli-belah di Malaysia memang fokus buat dekorasi perayaan. Sebab itu kami bawa kanak-kanak untuk merasai kemeriahan. Di Malaysia, semua kaum boleh menikmati sambutan pelbagai perayaan dan itu memang bagus," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Samsuriani Rusli dari Sabah yang menyifatkan Kuala Lumpur sebagai simbol perpaduan rakyat Malaysia.

"Di sini saya lihat hubungan masyarakat sangat erat. Walaupun kita tahu Sabah dan Sarawak mempunyai pelbagai kaum, di sini semua orang boleh berkumpul dari Sabah, Sarawak dan seluruh dunia. Perpaduan itu memang sangat terasa," katanya.

Bagi Nur Saila Kamaruddin, kepelbagaian kaum di Malaysia membolehkan rakyat meraikan pelbagai perayaan bersama-sama.

"Kepelbagaian kaum di Malaysia membolehkan kita raikan perayaan seperti Hari Raya, Deepavali dan Krismas. Kita dapat lihat cara orang lain meraikan dan sama-sama menikmati suasana cuti," katanya.

Kemeriahan sambutan itu turut menarik perhatian pelancong luar negara. Pelancong dari Indonesia, Nurmalia Suryo Sularso, menyifatkan Malaysia sebagai negara yang ramah dan mesra pengunjung.

"Meriah dan orangnya ramah. Makanan pun sedap, penduduk Malaysia baik dan sopan. Senang berada di sini," katanya.

Sementara itu, pelancong dari Sri Lanka, Pavithra Herath, berkata sambutan Hari Natal di Malaysia memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

"Suasana Hari Natal di sini berbeza. Ini merupakan kali pertama kami datang ke Malaysia dan kami sangat gembira. Penduduk di sini sangat baik dan mesra,"katanya.

Sambutan Hari Natal dan musim cuti persekolahan di ibu negara bukan sekadar diraikan,ia menjadi kekuatan dalam membina perpaduan serta keharmonian masyarakat Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI