fb fb fb fb fb

500 pelajar terima bantuan persekolahan di Parlimen Kulai

Majlis Serahan Baucar Jom Ke Sekolah dan Beli Belah Bersama Pelajar di Kulai

KULAI, 25 Disember - Parlimen Kulai memperuntukkan sebanyak RM75,000 bagi pelaksanaan bantuan persekolahan menerusi program Jom Ke Sekolah kepada 500 penerima melibatkan tiga Dewan Negeri bawah parlimen itu.

Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, bantuan berkenaan menyasarkan golongan memerlukan, khususnya B40, bagi meringankan beban persediaan anak-anak menjelang sesi persekolahan.

Proses permohonan bantuan itu turut dipermudahkan dengan pelaksanaannya secara dalam talian, bagi memastikan ia lebih mudah diakses, cepat dan telus kepada golongan sasar.

"Jadi, saya harap bantuan ini akan memberi manfaat kepada semua penerima bawah Parlimen Kulai. Permohonan ini dibuka secara dalam talian melalui Facebook saya.

"Syaratnya permohonan kali ini sangat mudah. Pertama, pemohon mestilah pengundi di Kulai kerana bantuan ini untuk penduduk Parlimen Kulai. Kedua, anak mereka mestilah bersekolah di Kulai. Hanya dengan dua syarat ini, mereka layak memohon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Serahan Baucar Jom Ke Sekolah dan Beli Belah Bersama Pelajar di sini.

Usaha itu bukan sahaja meringankan bebanan kewangan keluarga, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam memastikan akses pendidikan yang lebih saksama bagi generasi muda di Parlimen Kulai.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI