fb fb fb fb fb

Lebih RM14 juta dibelanjakan menerusi PJRM - KPDN Terengganu

FOTO BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu membelanjakan lebih RM14 juta menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat, termasuk persiapan persekolahan menjelang sesi baharu.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, lebih 1,000 pelaksanaan PJRM telah diadakan di seluruh negeri itu dengan nilai jualan keseluruhan melebihi RM52 juta, sekali gus memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna.

"Kita telah membelanjakan lebih RM14 juta dan baki peruntukan ini akan diteruskan ke tahun depan kerana Program Jualan Rahmah akan diteruskan.

"Dengan peruntukan RM600 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, program ini akan diperkasakan lagi, khususnya dengan memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman serta inisiatif kembali ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan PJRM Kembali ke Sekolah dengan kerjasama tiga pasar raya besar di NACC Kuala Terengganu.

Terdahulu beliau meninjau pelaksanaan PJRM kembali ke sekolah dengan kerjasama tiga pasar raya besar di NACC Kuala Terengganu di sini.

Program sama turut diperluaskan ke 12 premis terpilih melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Terengganu bagi memastikan manfaatnya dinikmati secara menyeluruh.

Pelaksanaan berskala lebih besar itu melibatkan antara 200 hingga 300 unit simpanan stok (SKU), merangkumi barangan keperluan persekolahan serta barangan harian.

Melalui inisiatif tersebut, pengguna menikmati potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI