PASIR PUTEH, 22 Julai- Seorang wanita maut manakala anak perempuannya berusia tiga tahun cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Machang Pasir Puteh, Kampung Kandis, di Pasir Puteh, pagi tadi.
Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva, Nur Faralysa Aisyah Mohd Hasif, 34 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Anak perempuan mangsa berusia tiga tahun cedera di kepala manakala seorang lagi penumpang yang juga adik ipar perempuannya berusia 20-an cedera patah kaki kanan.
Pemandu SUV berkenaan yang juga seorang doktor wanita mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan 2 KUP, Muhamad Deri Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 berhubung kemalangan itu pada jam 6.56 pagi.
"Sebaik tiba, pihak kami mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kenderaan dinaiki tiga sekeluarga dan sebuah lagi kenderaan dipandu oleh seorang wanita bersendirian.
"Tiga mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak perempuan manakala seorang mangsa wanita meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, dalam operasi itu, pihak bomba juga berjaya mengeluarkan Nur Faralysa Aisyah yang tersepit di tempat pemandu, namun dia disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Seramai sembilan anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamat berkenaan.
“Mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.