fb fb fb fb fb

Ibu bapa yang bawa anak ke bazar Ramadan disaran berhati-hati - PM

PUTRAJAYA, 4 April- Ibu bapa yang membawa anak-anak berkunjung ke bazar Ramadan harus memastikan keselamatan anak mereka.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia termasuklah mengelak daripada berada di kawasan sesak yang sempit.

"Ramai anak-anak dibawa, jadi saya minta supaya mereka perlu juga berhati-hati kalau bawa anak kecil. Cuba elakkan daripada tempat yang sesak untuk menjaga keselamatan anak-anak kita sendiri. Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita. Kesihatan keluarga kita adalah tanggungjawab kita," kata Ismail kepada wartawan RTM ketika melakukan tinjauan dan lawatan ke Bazar Ramadan di sini.

Datuk Seri Ismail Sabri turut berpuas hati dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengunjung yang hadir ke bazar ramadan namun mengingatkan orang ramai untuk terus berhati-hati.

"Sebab SOP yang wajib hanya pemakaian pelitup muka. Jadi saya nampak kesemua pakai pelitup muka termasuk kanak-kanak, jadi dari segi kesesakan dan sebagainya seperti saya katakan tadi, mulai 1 April tidak lagi menjadi wajib dan akan didenda jika ada penjarakan sosial ataupun tidak ada penjarakan sosial tidak ada denda lagi," tambahnya.

Perdana Menteri turut beramah mesra bersama para pengunjung dan membeli juadah untuk berbuka.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditemui media di bazar Ramadan di Putrajaya hari ini)

Dalam perkembangan lain, pemantauan harga barangan dan makanan di bazar Ramadan akan terus dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia bagi mengelakkan pengguna dari terus tertekan dengan kenaikan harga.

"Setakat ini, saya difahamkan tidak ada aduan.Tapi kita serah kepada KPDNHEP, bagaimana mereka nak kawal seperti yang disebut oleh Datuk Seri Alex semalam, kalau nampak harga itu terlalu melampau mungkin mereka akan menasihatkan atau mengambil tindakan tapi ini kuasa KPDNHEP. Saya serahkan kepada KPDNHEP yang penting pengguna tidak ditekan dari segi kenaikan harga," ulasnya.

Media Baharu