TANAH MERAH, 27 Februari-Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut berkait kematian kanak-kanak lelaki berusia 19 tahun, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi kerana dikhuatiri terdapat unsur kecuaian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, beliau telah pun mengarahkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah supaya berbuat demikian.
Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan atau kesan jenayah pada badan mangsa.
"Setakat ini, mayat Hud tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan berdasarkan hasil bedah siasat.
"Cuma, seperti yang saya sebutkan tadi, kemungkinan wujud unsur kecuaian. Cara laporan dibuat pun menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.
"Saya lihat di TikTok, ramai berkata ia tidak logik, termasuk dakwaan cara budak itu jatuh ke sungai dan sebagainya", katanya demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut Datuk Mohd Yusoff berkata, pihak polis akan merakam keterangan keluarga termasuk kedua ibu bapa mangsa hari ini.
Bagaimanapun katanya, polis setakat ini tidak membuka sebarang kertas siasatan sebaliknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Semalam, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah Kelantan Isnin lalu, ditemui lemas.
Mayat mangsa Hud Aryan Mohd Nor Hafifi ditemui di tebing sungai pada jarak tiga kilometer dari rumah keluarga mangsa kira-kira 4.15 petang semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).