fb fb fb fb fb

Permintaan santan meningkat, kerajaan jamin bekalan terkawal

Foto hiasan

KUANTAN, 27 Februari- Kadar permintaan santan dalam negara terus meningkat sekali gus mencatatkan penggunaan santan per kapita rakyat Malaysia mencecah 24.9 kilogram setahun berbanding 21 kilogram per kapita yang direkodkan pada 2019.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dr. Fuziah Salleh berkata, laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu, menunjukkan kadar permintaan tinggi terhadap komoditi didorong pengeluaran luar musim puncak, namun bekalan santan untuk keperluan domestik masih terkawal.

"Dari bulan Disember, trend menunjukkan bahawa ada sedikit kekurangan dari segi pengeluaran kerana Malaysia ini dari segi nisbah kita 70 peratus adalah daripada kelapa tempatan dan 30 peratus diimport.

"Data menunjukkan rakyat Malaysia ini meningkat dia punya pengambilan santan per kapita pada 2019, dia punya penggunaan per kapita itu meningkat dari 21 ke 22, sekarang dah 24 kilogram per tahun satu orang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pembukaan Pasar Raya Nirwana Hypermarket ke-18 di Indera Mahkota di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin.

Beliau turut menambah bahawa permintaan santan dijangka meningkat menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sekali gus pihak terlibat meningkatkan pengimportan kelapa dari luar negara.

Sebanyak 47 notis termasuk lima di Pahang telah dikeluarkan kepada peruncit, pemborong dan pengimport kelapa dan santan segar bagi mendapatkan maklumat serta data berkaitan terutama dari segi penyelarasan harga di setiap peringkat.

Perkara itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil keuntungan secara berlebihan.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 95 lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) seluruh negara dikenal pasti.

Daripada angka itu enam di Pahang iaitu di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan; Bazar Ramadan Taman Temerloh Jaya (Temerloh); Bazar Ramadan Bandar Jerantut (Jerantut); Bazar Ramadan Muadzam Shah (Rompin); Bazar Ramadan Dataran Kerayong (Bera); serta Bazar Ramadan Bandar Raub (Raub).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI