KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Selepas dua tahun Aidiladha disambut dalam suasana terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibadah korban kali ini dirai dengan suasana lebih meriah.
Penyelaras program ibadah korban Surau Ar-Rahman, Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu, Mahadi Mohamad berkata kali ini 26 ekor lembu dikorbankan melibatkan penyertaan 182 peserta.
Kuantiti itu meningkat berbanding hanya 16 ekor lembu sahaja yang ditumbangkan tahun lalu.
120 sukarelawan juga terlibat menjalankan aktiviti menyembelih, melapah serta membungkus daging.
(Program ibadah korban yang dianjurkan Surau Ar-Rahman, Kampung Kubang Tangga, Kuala Terengganu)
"Kita masih menilai risiko di mana kita mengurangkan jumlah peserta berkumpul pada satu masa dengan cara kita membuat giliran sembelihan, satu pusingan sembelihan kita tetapkan tujuh ekor bermakna peserta-peserta yang terlibat dengan tujuh ekor yang pertama sahaja yang akan hadir," kata beliau pada program ibadah korban Surau Ar-Rahman, di sini.
Umat Islam di negeri Terengganu dibenarkan melakukan ibadah korban dan akikah sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini di perkarangan rumah, masjid atau surau.
6,383 kebenaran sembelihan dan 5,509 permit pindah haiwan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri pada sambutan Aidiladha kali ini.