fb fb fb fb fb

Hukuman mati D. Nagaenthran, tak jejas hubungan Malaysia-Singapura- Saifuddin

KUALA LUMPUR, 30 April- Hubungan Malaysia dengan Singapura tidak terjejas susulan kes D. Nagaenthran, rakyat Malaysia yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi pada Rabu lalu.

Dia didapati bersalah menyeludup dadah ke republik itu, 13 tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia menghormati sepenuhnya undang-undang dilaksana Singapura.

Jelas beliau, ia bukan kes pertama membabitkan rakyat Malaysia yang terpaksa menjalani hukuman mati di Singapura.

"Kerajaan Malaysia telah cuba sedaya upaya untuk mendapatkan keampunan dan memohon hukuman ke atas Nagaenthran dikurangkan," katanya.

Saifuddin berkata, beliau telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Singapura berhubung perkara berkenaan.

Perkara sama turut dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengutus surat kepada Perdana Menteri Singapura.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah juga mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura.

Pada minggu akhir sebelum hukuman dilaksanakan, Perdana Menteri dan Saifuddin, sekali lagi mengutus surat kepada republik berkenaan, termasuk mencadangkan pertukaran banduan.

Kedua-dua surat dibalas dengan baik kerajaan Singapura, meski cadangan pertukaran banduan tidak diterima ketika ini.


(GAMBAR FAIL)

Media Baharu