fb fb fb fb fb

Hujan lebat berterusan punca tanah runtuh Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 28 Jun - Kejadian tanah runtuh di Kilometer 45, Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands lewat malam tadi berpunca berkemungkinan disebabkan jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat yang berterusan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta berkata, kerja-kerja pembersihan masih lagi dilaksanakan di lokasi kejadian selepas sisa tanah runtuh mengalir ke bahagian jalan raya.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu. Pihak JKR Daerah Kinta dan pihak konsesi jalan persekutuan telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

"Bagaimanapun jalan tersebut sudah dibuka kepada semua kenderaan kira-kira jam 4.30 pagi selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak kontraktor," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan sebagai langkah persediaan awal untuk sebarang kemungkinan yang berlaku,

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 11.12 malam sehingga menyebabkan jalan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan.

Siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak kira-kira 50 minit perjalanan dari pekan Simpang Pulai.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati dan peka dengan keadaan persekitaran di kawasan berkenaan, lebih-lebih lagi keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

Media Baharu