(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun)
SEREMBAN, 28 Jun- Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan Sabtu ini (1 Julai), bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tarikh itu dicadangkan dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
"Pada pagi ini saya mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk menandatangani watikah membubarkan DUN Negeri Sembilan bagi memberi ruang PRN diadakan. Alhamdulillah, tarikh pembubaran 1 Julai ini.
"Tarikh pembubaran tersebut selaras dengan kuasa diperuntukkan di bawah Ceraian (2) Fasal 56, bahagian Yang Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959," katanya di Wisma Negeri, Seremban.
(Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir perkenan pembubaran DUN Negeri Sembilan 1 Julai ini)
Sementara itu, beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan interim yang beroperasi seperti biasa bagi memastikan sistem perkhidmatan kerajaan kekal efisien.
Jelasnya, barisan pimpinan kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa namun tiada mesyuarat berkaitan dasar akan diadakan.
Negeri Sembilan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.
Persidangan DUN Negeri Sembilan yang pertama adalah pada 2 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun berakhir pada 1 Julai ini.
Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan PH dipimpin Aminuddin menguasai 20 kerusi (DAP-11, PKR-enam, Amanah-tiga), manakala Barisan Nasional (BN) 16 kerusi (UMNO-15 dan MIC-satu).