fb fb fb fb fb

Hujan lebat berterusan jejas 496 penduduk di Kemaman

(Beberapa penduduk mengharungi banjir untuk ke tempat selamat selepas
kampung mereka dilanda banjir semasa tinjauan di Kampung Besut hari ini/FOTO BERNAMA)

KEMAMAN, 18 Disember - Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kampung di kawasan rendah di daerah ini mula dinaiki air.

Sehingga 4 petang tadi seramai 496 penduduk terjejas membabitkan 114 keluarga telah pun dipindahkan ke lima buah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Lima PPS berkenaan ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, SK Kampung Baru Kerteh, dewan Pusat Latihan Darul Iman (DITC), Balai Raya Kampung Batu
9 Ibok dan Balairaya Kampung Padang Kemunting, Ibok.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Batu 9 dan Kampung Padang Kemunting Ibok, Kampung Baru Kemasik, Kampung Baru Kerteh dan Rumah Murah
Telok Kalong, Kijal.

Kesemua penduduk terjejas dipindahkan sejak awal pagi tadi selepas kawasan kediaman mereka mula dinaiki air kira-kira satu meter.

(Anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menyelamatkan
beberapa mangsa banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika
tinjauan di Kampung Kepah hari ini/FOTO BERNAMA)

Tinjauan RTM di Kampung Teladas Air Putih dan Kampung Padang Kubu mendapati paras air sungai Kemaman dan Tebak semakin naik dan penduduk mula membuat persiapan untuk berpindah ke PPS dalam masa terdekat.

Penduduk beberapa kawasan di Terengganu diminta bersiap siaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Ia susulan kenaikan paras air sungai di beberapa kawasan di daerah Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu dalam laman media sosialnya memaklumkan, antara stesen mencatat aras air bahaya setakat jam 8 pagi tadi ialah Stesen Sungai Telemong di Kampung Sungai Ping dan Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu.

Media Baharu