fb fb fb fb fb

Hujan lebat, angin kencang akibatkan 21 buah rumah rosak

KEMAMAN, 16 Ogos- Hujan lebat beserta angin kencang yang melanda sekitar Bandar Ceneh Baru, Kemaman mengakibatkan 21 buah kediaman rosak.

Berdasarkan laporan, antara kerosakan yang berlaku adalah bumbung rumah penduduk diterbangkan angin, rumah ditimpa dahan pokok dan juga menyebabkan kerosakan perabot serta barangan elektrik.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim berkata insiden ini adalah kali pertama yang berlaku di Bandar Ceneh Baru.

"Kita akan kira berapa rumah yang terkesan dengan bencana ini. Pengerusi JPKK akan membuat laporan dan kemaskini data penduduk terjejas dan kita akan guna Tabung Darul Iman untuk kita bantu apa yang patut terlebih dahulu," kata Abdul Razak kepada pemberita RTM.


(Ahli Dewan Undangan (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim menjelaskan kepada
media berhubung insiden terbabit)

Bagi penduduk terjejas, Mustapa Abdullah dan Omai Kalsom Ahmad, redha dengan ujian tersebut selain mengharapkan bantuan dapat disalurkan dengan segera.

"Kejadian waktu itu, saya lihat hari dah nampak gelap. Kemudian, angin bertiup sangat kencang. Saya pun mula laungkan azan, tak lama pada itu saya tengok bumbung rumah saya terbang. Saya cepat selamatkan diri takut ditimpa bumbung," kata Mustapa Abdullah.

"Masa kejadian itu saya di bilik mandi. Saya rasa angin sangat kuat dan saya keluar dari bilik air tu, tengok bumbung saya dah tercabut. Saya bergegas ke rumah ibu saya, rumah ibu saya pun berlaku perkara sama," kata Omai Kalsom kepada RTM.

Tambah Abdul Razak, pihaknya sedang membuat bancian bagi mendapatkan anggaran sebenar kerosakan akibat ribut berkenaan agar bantuan susulan untuk membaiki kediaman yang terjejas dapat disegerakan.

Media Baharu