KUANTAN, 2 Mac- Hujan lebat berterusan sejak Selasa menyebabkan beberapa kawasan di daerah Rompin, Maran, Raub dan Jerantut Pahang, dilanda banjir.
Setakat Rabu, 474 penduduk daripada 120 keluarga terjejas banjir kini berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah berkenaan.
Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak lima PPS dibuka di daerah Rompin, Maran (lima), Raub (empat) dan Jerantut (satu).
PPS Balai Raya Rekoh, Rompin menempatkan jumlah penduduk terjejas banjir paling ramai membabitkan 122 individu, diikuti PPS Sekolah Kebangsaan Kota Gelanggi 1, di Jerantut iaitu seramai 88 individu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Pahang, melibatkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, sehingga Khamis.
(Keadaan banjir di Pahang)