fb fb fb fb fb

Hujan berterusan di 7 buah negeri lebih 814, 216 penduduk terjejas banjir

 

KUALA LUMPUR , 3 Januari - Seramai 814, 216 orang daripada 4,172 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan masih berlindung di 182 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh buah negeri terjejas banjir.

Setakat 4 petang tadi, sejumlah 803 buah PPS telah ditutup di mana 119,380 orang daripada 33,708 KIR telah pulang ke rumah masing-masing.

Ini termasuk ke semua PPS di Terengganu yang telah ditutup petang ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 28 daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah masih terjejas banjir.

"Jumlah kumulatif penduduk terkesan bencana banjir di seluruh negara adalah seramai 133,178 orang daripada 37,563 KIR. ," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melaporkan, sehingga jam 10 pagi, terdapat 243 kejadian tanah runtuh di seluruh negara, pertambahan 6 lokasi di Negeri Sembilan, 1 di Johor dan 7 di Sabah.

"Jumlah ini bukan kejadian tanah runtuh harian semasa, tetapi merupakan kumulatif jumlah tanah runtuh dengan pertambahan maklumat daripada DBKL." jelas kenyataan itu.

Manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan setakat 10.00 pagi 2 Januari, terdapat kejadian cerun dan jalan runtuh di 55 buah lokasi.

"Ini merupakan lokasi-lokasi yang sedang dalam pemantauan pihak JKR untuk tindakan pembaikan," katanya.

Sehingga 10.00 pagi tadi, sebanyak 1,015 dari 1,040 infrastruktur komunikasi telah dibaik pulih bersamaan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi yang terjejas.

Angka keseluruhan kekal sebanyak 1,040 di mana terdapat penambahan satu infrastruktur komunikasi terjejas di Daerah Jempol manakala baki 25 infrastruktur komunikasi masih dalam proses baik pulih.

Justeru, sekretariat menasihati orang ramai untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan perlu bersedia berpindah sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak.

"Berikutan fenomena air pasang besar, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi," tulis kenyataan itu.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan Twitter @JPS InfoBanjir.



Media Baharu