KOTA KINABALU, 2 Ogos – Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 bermula seawal pagi dengan penganjuran Program Fun Bike melibatkan 300 peserta.
Pelepasan kayuhan sejauh 10 kilometer itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Timbalannya, Datuk Seri Arthur Joseph.
Kayuhan bermula dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menuju ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah sebelum berpatah semula ke SICC.
Selain Fun Bike, tujuh acara lain turut diadakan hari ini termasuk Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama pihak industri.
Turut dilancarkan ialah Penjenamaan Semula Program Simposium PeladangNita dan Program Dari Dapur PeladangNita, selain Konvensyen HPPNK 2025.