JOHOR BAHRU, 2 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu membawa pembaharuan menyeluruh terhadap hala tuju pembangunan negara.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor, Nurul Fahana Aini Harun berkata, RMK13 memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan siling ekonomi makro serta memperkukuh lantai sosioekonomi rakyat.
Katanya, berbeza dengan RMK12 yang menumpukan kepada pemulihan pasca pandemik, RMK13 memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu seperti Dasar Gaji Progresif, Program Residensi MADANI, latihan TVET dan peningkatan kebolehpasaran graduan.
Turut diberi perhatian ialah pengukuhan sektor pelancongan luar bandar termasuk pembangunan industri inap desa di destinasi tumpuan seperti Mersing dan Tangkak, bersempena Tahun Melawat Johor 2026.
“RMK13 satu inisiatif yang sangat baik jika rakyat benar-benar faham dan turut serta secara aktif. Cabaran utama ialah memahamkan rakyat mengenai dasar ini serta menggalakkan penglibatan mereka. Ramai yang sebenarnya belum mengetahui insentif yang disediakan kerajaan. Jadi, di sinilah pentingnya kerjasama kerajaan negeri bagi memastikan kejayaan RMK13 dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan RMK13 dapat dijalankan secara menyeluruh dan inklusif agar masyarakat, khususnya rakyat Johor, bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut menjadi peneraju dalam menjayakan agenda pembangunan negara.