fb fb fb fb fb

Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh terjejas banjir

Foto Facebook Hasnan Hasni

(Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh yang terjejas banjir / Foto Facebook Hasnan Hasni) 

KELANTAN, 20 Disember- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) bertindak pantas memindahkan 28 pesakit di Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh yang terjejas banjir sejak kelmarin.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin dalam satu kenyataan berkata, pesakit-pesakit dipindahkan ke tiga hospital iaitu Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ 2) dan Hospital Tanah Merah.


(Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh yang terjejas banjir / Foto Facebook Hasnan Hasni) 

Katanya, kerja-kerja memindahkan pesakit iaitu seramai empat orang dilakukan pada malam tadi manakala 24 lagi pesakit pada pagi tadi.

Beliau berkata, penilaian oleh pihak Radicare Sdn Bhd mendapati paras air meningkat termasuk di kawasan generator dan suis utama menyebabkan perlu menutup bekalan elektrik hospital.

Perkhidmatan sokongan di hospital seperti Unit Radiologi, Patologi dan Unit Bekalan Bahan Steril (CSSU) terpaksa memberhentikan perkhidmatan kerana peralatan tidak dapat berfungsi atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun Unit Kecemasan & Trauma beroperasi dan menerima kes-kes kecemasan serta kes rujukan dari pusat pemindahan sementara (PPS) untuk rawatan.

Menurut Datuk Dr Zaini, hujan mulai reda dan surut sekitar jam 4 pagi memberi kelegaan kepada pihak hospital dan membolehkan urusan memindah keluar pesakit dilakukan.

Tambah beliau, pesakit dipindahkan dengan menggunakan ambulans dan lori menerusi bantuan Bilik Gerakan Banjir Negeri dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pasir Puteh.

Media Baharu