fb fb fb fb fb

Hospital swasta disaran sertai inisiatif BFHI, sokong penyusuan susu ibu

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 September – Lebih banyak hospital swasta disaran menyertai Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) bagi menyokong usaha memperkukuh amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu terbukti memberi manfaat besar bukan sahaja kepada bayi dan ibu, malah turut menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

“Susu ibu adalah vaksin pertama dalam hidup seorang anak. Ia merupakan perisai utama yang membekalkan kolostrum mengandungi segala yang diperlukan bagi melindungi bayi daripada pelbagai penyakit termasuk jangkitan dan infeksi.

“Ia adalah pelaburan terbaik untuk keluarga, pasangan ibu bapa, dan pada masa sama merupakan pelaburan terbaik untuk negara serta masa depan generasi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di ibu negara.

BFHI merupakan program global anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF yang bertujuan menggalakkan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif sejak bayi dilahirkan.

Menurut Dr Dzulkefly, sehingga kini sebanyak 128 hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan 31 daripada 180 hospital swasta telah mendapat pengiktirafan BFHI.

Beliau turut memaklumkan kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif di Malaysia menunjukkan peningkatan ketara, daripada 14.4 peratus pada tahun 2009 kepada 74.1 peratus pada tahun 2024.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN