(Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melihat replika bangunan
Pusat Jantung Hospital Serdang/BERNAMA)
SERDANG, 8 Mei- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Hospital Serdang sebagai Hospital Sultan Idris Shah.
Turut berangkat mengiringi Baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan dan tanda terima kasih kepada kerajaan kerana sudi menamakan hospital itu bersempena dengan nama Baginda.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menandatangani buku pelawat dan meluangkan masa lebih satu jam bagi melawat Galeri Kapsul Masa, Unit Radiologi Jantung dan Makmal Non Invasif Kardiologi.
Hadir sama, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
(Sultan Selangor berkenan menyempurnakan Perasmian dan Penjenamaan Semula
Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah/BERNAMA)
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan agar projek berkepentingan tinggi seperti pembinaan hospital dan klinik baharu terutamanya di Selangor disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Titah baginda, agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan ke atas projek berkenaan hendaklah memantau dengan teliti pelaksanaan projek sekali gus dapat menangani sebarang masalah pembinaan dengan pantas dan efisyen.
"Dengan terbinanya fasiliti kesihatan baharu di Selangor, rakyat boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos yang mampu dan berpatutan.
"Oleh itu, pembinaan hospital dan klinik awam mesti dilaksanakan dengan cekap supaya ia dapat diselesaikan dalam tempoh yang dirancang dan beroperasi dengan cekap bagi kesejahteraan rakyat jelata", titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda turut menitahkan agar semua fasiliti kesihatan yang uzur dan hospital lama hendaklah diberi perhatian dan penjagaan teliti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Setiap infrastruktur dan peralatan yang rosak perlu dinaik taraf dan dibaiki untuk keselesaan pesakit dan mempermudahkanakses kesihatan kepada rakyat", titah Baginda pada Majlis Perasmian dan Penjenamaan semula Hospital Serdang di Auditorium Hospital Sultan Idris Shah Serdang di sini, hari ini.