ISKANDAR PUTERI, 24 November- Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru yang kini dalam pembinaan, dijangka beroperasi secara berperingkat bermula Mac tahun hadapan.
Pembukaan hospital tersebut dapat menampung keperluan pesakit dan menyelesaikan isu kesesakan dihadapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada tahap maksimum.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah menerima kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pengisian perjawatan di hospital berkenaan.
"Kaunter pertama untuk tahun 2025 mula beroperasi secara berfasa. Dengan jumlah katil yang ada, mudah-mudahan ia boleh membantu untuk melegakan kebanjiran pesakit khususnya di Pasir Gudang, Seri Alam dan HSI.
Pada bulan Mac, akan bermula untuk beroperasi secara berperingkat kerana pihak JKNJ telah menerima kelulusan daripada JPA untuk 1,800 perjawatan di hospital tersebut," kata Tian Soon kepada pemberita pada Persidangan Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini.
Hospital bernilai RM375.7 juta itu dilengkapi 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan.
Fasiliti kesihatan itu juga dilengkapi 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir kenderaan.