fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan, kekal 76 penduduk terjejas di dua PPS

Foto Fail

PASIR MAS, 24 November- Banjir di Kelantan mencatatkan tiada perubahan, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal seramai 76 orang.
 
Pusat perlindungan itu dibuka masing-masing satu di daerah Pasir Mas dan Bachok.
 
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh, kekal 32 orang daripada tujuh keluarga.
 
PPS SMK Beris Panchor pula masih menempatkan 44 penduduk terjejas banjir daripada 12 keluarga.
 
Dalam pada itu, menurut Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), satu sungai di Kelantan melepasi tahap amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, jajahan Pasir Mas dengan bacaan 8.75 meter, setakat pukul 3.30 petang.

Sementara itu, banjir di Melaka telah surut sepenuhnya, apabila penduduk terjejas yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, kesemua tiga PPS yang telah dibuka sejak Jumaat lalu masih belum ditutup dan dalam fasa siap siaga.

PPS terbabit adalah PPS SK Tanjung Minyak 2, Japerun Pantai Kundor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Rambai.

MetMalaysia meramalkan beberapa kawasan di Melaka, hujan petang ini.

Dalam pada itu, di Terengganu  jumlah penduduk terjejas menurun kepada 87 orang, setakat pukul 4.00 petang.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS yang masih beroperasi di negeri itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan hanya dua daerah yang masih terjejas iaitu Dungun dan Marang.

Daerah Marang mencatatkan penduduk terjejas banjir paling ramai dengan 66 orang yang ditempatkan di empat PPS.

Sementara itu, menurut portal Public Infobanjir, paras air di dua sungai utama di Kuala Nerus dan Setiu menunjukkan trend menurun kepada paras berjaga-jaga.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM