KUALA LUMPUR, 24 November - Syarikat telekomunikasi perlu mencari mekanisme terbaik bagi menyediakan satu pakej internet yang lebih baik serta murah kepada pemandu teksi dan e-hailing.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, langkah itu wajar memandangkan golongan berkenaan banyak menggunakan data internet dan ini akan membantu meringankan beban mereka.
"Syarikat telco juga wajar memudahkan proses mereka untuk menukar kepada pelan yang lebih baik itu nanti, seperti hanya secara dalam talian tanpa perlu ke mana-mana premis," kata Fahmi.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin kepada 150 pemandu teksi dan e-hailing di Parlimen Lembah Pantai, di sini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, bagi membantu pemandu teksi daripada aspek penggunaan prabayar, kementeriannya akan mengusulkan kepada syarikat telekomunikasi pakej prabayar dengan harga yang lebih murah kepada mereka terlibat.
Sebagai permulaan kepada cadangan tawaran pelan lebih baik daripada telco itu, senarai 150 pemandu yang hadir pada program hari ini akan dilibatkan.
"Jadi saya akan mula dengan senarai 150 orang pemandu teksi yang hadir pada hari ini saya akan cuba semak silang dengan syarikat telco sekiranya bagi pemandu-pemandu teksi ini ada pakej yang lebih bermanfaat sama ada mereka mahu kekal atau mereka mahukan yang ada data yang lebih banyak.
"Ataupun lebih murah maka saya mahu supaya di berikan ruang untuk mereka melakukan perubahan pakej itu dan saya akan lihat mekanisne yang terbaik dan termudah," katanya.
Sementara itu Fahmi berkata beliau melihat terdapat keperluan untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewujudkan satu usaha sama dengan golongan pemandu teksi di negara ini.
“Kerja mereka ini kerap berurusan dengan orang awam, jadi saya rasa mereka boleh bantu untuk sampaikan maklumat dan berita yang tepat dan betul kepada masyarakat terutama terkait sebarang isu atau persoalan,” katanya.