fb fb fb fb fb

Hospital Pasir Gudang belum sedia beroperasi, perlu lengkap 50 peratus keperluan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 24 Julai – Hospital Pasir Gudang hanya boleh memulakan operasi apabila tahap kesediaan mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus merangkumi tenaga kerja, perjawatan dan kelengkapan perubatan yang telah dipenuhi.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, hasil pertemuan bersama Menteri Besar Johor baru-baru ini, kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah sepakat untuk memastikan pelaksanaan fasa awal operasi hospital dilaksanakan secara teliti dan berperingkat.

“Apa yang diserahkan oleh pihak GKR (Unit Kerja Raya) sangat membanggakan. Saya sendiri telah melihat kemudahan hospital ini dan kami sangat berbangga dengan fasiliti ini,” katanya.

Tambah Datuk Seri Dr Dzulkefly, meskipun struktur fizikal hospital telah siap, fokus utama kini tertumpu kepada kelengkapan peralatan perubatan dan penempatan sumber manusia yang mencukupi sebelum ia dapat beroperasi sepenuhnya.

“Apa yang mustahak, kita bersetuju memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kesediaan bukan sahaja dari segi bangunan tapi peralatan, tenaga manusia. Mungkin juga jangkaan kita dapat kakitangan paling cepat hujung tahun ini atau sehingga suju pertama tahun depan," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Malaysia Year of Medical Tourism 2026 di ibu negara, hari ini.

Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly, berdasarkan unjuran semasa, tempoh paling awal hospital itu boleh beroperasi adalah pada akhir tahun ini, namun tidak menolak kemungkinan tarikh sebenar ditunda ke suku pertama tahun 2026, bergantung kepada proses pengambilan kakitangan dan kelengkapan logistik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang sedia memberi pelbagai bentuk sokongan termasuk logistik dan perjawatan bagi mempercepatkan pembukaan hospital berkenaan.

“Apa pun kerajaan Negeri Johor cuba memberikan bantuan kepada KKM untuk memastikan bekalan tenaga pekerja akan dapat dipenuhi 50 peratus untuk beroperasi,”ujar beliau.

Hospital Pasir Gudang merupakan antara projek kesihatan utama di Johor dan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN