KUALA LUMPUR, 24 Julai - Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dalam menghadapi situasi jerebu negara.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dalam kenyataannya berkata, tindakan lebih cepat dan responsif akan dilaksanakan oleh JAS bersama kementerian serta agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu.
JAS sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa - Foto FB JAS
"Antara tindakan yang perlu dilaksana adalah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
"Menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100. Manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan melebihi 200," katanya.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan (OPA) juga akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 lebih 24 jam.
Menurutnya, berdasarkan laporan status kualiti udara dan jerebu dalam negara, kawasan Kuala Selangor mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (132) setakat pukul 3.00 petang tadi.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar - Foto FB JAS
Manakala dua kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan manakala 64 kawasan lagi pada tahap sederhana.
“Kemerosotan kualiti udara di kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan. Tiada kebakaran besar berlaku yang boleh menyebabkan jerebu setempat,” katanya.
Datuk Wan Abdul Latif berkata, berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) berpusat di Singapura semalam, imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 mendapati 42 titik panas dikesan di Sumatera manakala 91 lagi di Kalimantan.
Menurutnya, 13 titik panas turut dikesan dalam negara iaitu 11 di Sarawak dan masing-masing satu di Pahang serta Terengganu.
“JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya.