fb fb fb fb fb

Hormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri - JAKIM

KUALA LUMPUR, 27 April - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

"Kaedah ini selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui semua negeri," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

(Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff/BERNAMA)

Jelas Hakimah, pada tahun ini aktiviti cerapan rasmi di seluruh negara akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan bersamaan 1 Mei.

Aktiviti cerapan anak bulan ini akan dilakukan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

"Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam tersebut. Ia tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, tular mesej yang memetik konon bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di Melaka yang mendakwa umat Islam perlu bersedia kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei depan dan tidak sebagaimana 3 Mei yang tertera di kalendar ketika ini.

Media Baharu