KUCHING, 5 Januari -Kerajaan Negeri Sarawak akan memantau perkembangan lonjakan penularan virus 'human metapneumovirus' (HMPV) yang sedang berlaku di wilayah utara China.
Menurut Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, beliau turut membincangkan perkara itu bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN).
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak memberitahu, kerajaan negeri akan terus memantau situasi tersebut dan sekiranya penularan virus itu merebak ke Sarawak, langkah serta tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam Sarawak.
Tambahnya setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengeluarkan sebarang amaran berkenaan virus HMPV itu, manakala KKM juga sedang memantau jangkitan virus itu di dalam dan luar negara.
Walau bagaimanapun, Sim meyakinkan rakyat Sarawak bahawa penularan virus itu masih terkawal di negara ini dan orang awam dinasihati agar tidak mengambil iktibar daripada kes pandemik COVID-19 selain sentiasa menjaga kesihatan serta kebersihan diri.
"Kita semua sudah tahu apa yang perlu dilakukan sekira berlakunya sebarang penularan virus seperti pandemik COVID-19 dahulu, terutamanya dari aspek kebersihan dan kesihatan diri.
"Jadi kita tidak boleh lupa akan pengalaman itu dan harus sentiasa mengambil langkah proaktif tanpa menunggu berlakunya pandemik", katanya demikian selepas menyempurnakan Upacara 'eye-dotting' Patung Tarian Singa anjuran Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Bahagian Kuching, di Tua Pek Kong, di sini hari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina akan datang.