RAWANG, 1 Jun - Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Selangor masih terkawal dengan sebanyak 18,146 kes dilaporkan sehingga tempoh 28 Mei lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, Petaling menyumbang jumlah jangkitan tertinggi iaitu 6,111 kes, diikuti Hulu Langat; 2,965 dan Gombak 2,537.
Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Klang mencatatkan jumlah jangkitan melebihi 1,400 kes.
Manakala, Hulu Selangor, Sepang dan Sabak Bernam kurang dari seribu kes.
(Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman)
Beberapa tindakan juga telah diambil bagi mencegah penularan HFMD, antaranya perbincangan dengan Jabatan Pendidikan, Jabatan Perpaduan serta pengusaha tadika dan taska.
Selain itu, garis panduan juga dikeluarkan kepada ibu bapa sekiranya anak dijangkiti HFMD.
"Jadi langkah sedemikian ibu bapa bersama-sama penjaga taska telah dapat mengawal, walaupun kes meningkat tetapi kita dapat kawal dengan baik dan kalau kita lihat pada tahun 2020 dan 2021 kes HFMD memang tidak banyak berlaku kerana kita ada kawalan pergerakan, jadi hampir tiada kes tetapi pada tahun 2022 apabila pergerakan telah dilonggarkan dan akhirnya HFMD berlaku.
"Tetapi, alhamdulillah ianya terkawal bagi seluruh negeri Selangor.
"Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa yang memahami perkara tersebut dan telah mengambil peranan bersama dalam memastikan taska tadika bukan tempat penyebaran HFMD", katanya.
Beliau berkata demikian selepas Ops Mega ‘Asap’ di Rawang, Selangor.