KUALA LUMPUR, 22 Julai - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyifatkan aksi bercium vokalis Matty Healy dengan pemain bassnya pada konsert di 'Good Vibes Festival 2023' di Sepang malam tadi adalah satu tindakan yang sangat biadab.
Katanya, vokalis kumpulan The 1975 itu turut menghina undang-undang berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia sewaktu melakukan persembahan.
"Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh," kata Fahmi menerusi hantaran di Twitter.
Pada konsert malam tadi, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan dan aksi sangat biadab ketika melakukan persembahan.
Dia didakwa memegang botol arak dan meludah ketika persembahan, selain membuat ucapan yang menghina undang-undang Malaysia mengenai LGBT sebelum mencium pemain bassnya Ross McDonalds di pentas.