fb fb fb fb fb

Hina OKU:20 aduan diterima PDRM,SKMM ke atas 'Kak long Dungun'

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Sebanyak 20 aduan awam berkaitan penghinaan keadaan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh akaun Facebook ‘Wan Noor Baizura’ atau Kak long Dungun diterima pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kes itu sedang disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

(GAMBAR FAIL)

"Daripada jumlah tersebut, sejumlah 20 aduan yang berkaitan penularan kandungan yang berkaitan dengan penghinaan keadaan OKU, dan ianya melibatkan kandungan oleh akaun Facebook ‘Wan Noor Baizura’ (Kaklong Dungun) yang kini sedang berada dalam siasatan pihak PDRM dan SKMM," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dan Senator Datuk Seri S. Vell Paari di Parlimen yang membangkitkan isu mengenai tindakan yang diambil bagi memastikan perbuatan mempersenda golongan OKU tidak berleluasa di media sosial.

(Timbalan Menteri K-KOMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika menjawab soalan
Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi dan Senator Datuk Seri S. Vell Paari di Parlimen)

Tambah Zahidi, tindakan mengaibkan kehormatan seseorang termasuk mempersendakan fizikal boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 509 dan Seksyen 504) dan Seksyen 233(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kandungan berunsur kebencian terhadap OKU juga menjadi kesalahan mengikut terma perkhidmatan penyedia platform media sosial yang berpangkalan di luar negara seperti Facebook dan Instagram," katanya.

Media Baharu