fb fb fb fb fb

Hidangan 2,022 dulang nasi ambeng dicatat dalam Malaysia Book of Records

(Nasi ambeng yang disajikan di Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022
di Pantai Bagan Lalang, Sepang)

SEPANG, 27 November- 2,022 dulang nasi ambeng yang dihidangkan secara percuma tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai menu nasi yang terbesar pernah disajikan di negara ini.

Rekod baharu itu, seterusnya memadamkan catatan sebelum ini, iaitu 1,600 dulang nasi ambeng.

Kejayaan itu dicipta pada Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor 2022 di Pantai Bagan Lalang, Sepang dengan kehadiran 88,000 pengunjung.

Menurut Exco Pelancongan Negeri, Borhan Aman Shah; program diadakan dalam usaha memperkenalkan dan mempromosikan Nasi Ambeng kepada orang ramai.

"Kita harap dengan adanya pengiktirafan ini akan menaikkan lagi identiti negeri Selangor dimana kita telah mewartakan nasi ambeng ini sebagai makanan tradisional.

"Saya menyeru kepada semua pihak sama ada jabatan mahupun agensi kerajaan untuk memastikan makanan rasmi ini dapat dihidang kepada pengunjung yang datang ke negeri ini," katanya.

Lebih 300 pembekal dan pengusaha menyediakan hidangan nasi ambeng secara gotong-royong atau rewang melibatkan peruntukan RM300.000.

Nasi Ambeng adalah makanan tradisional masyarakat Jawa yang kebiasaannya dihidangkan ketika kenduri seperti tahlil dan doa selamat.

(2,022 dulang nasi ambeng yang dihidangkan secara percuma tercatat dalam Malaysia Book of Records
sebagai menu nasi yang terbesar pernah disajikan di negara ini)

Isinya terdiri daripada nasi putih yang dihidangkan bersama dengan lauk seperti ayam, sambal goreng Jawa, serunding kelapa dan mi goreng.

Juadah ini dihidangkan di dalam talam dan dikongsikan bersama-sama empat hingga enam orang tetamu.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengisytiharkan pewartaan Nasi Ambeng sebagai Makanan Warisan Selangor.

Media Baharu