fb fb fb fb fb

HFMD: Kelantan catat lebih 7,000 kes sejak Januari tahun ini

(Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin)

KOTA BHARU,19 Julai- Sebanyak 7,078 kes membabitkan Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut (HFMD) dilaporkan di negeri Kelantan sejak Januari tahun ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, berkata, ia merekodkan peningkatan sebanyak 27 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas, yang hanya melibatkan 261 kes.

Bagaimanapun, kebelakangan ini jumlah kes terbabit telah menunjukkan tren menurun kerana kes yang dilaporkan pada minggu epid 28 adalah sebanyak 39 kes, menurun sebanyak 58.5 peratus berbanding minggu epid 27 iaitu 84 kes.

Jelas Dr Izani, sebahagian besar wabak yang dilaporkan adalah membabitkan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak.

Beliau yang juga Adun Kijang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darul Naim, Kota Bharu.

Ujarnya, antara langkah yang diambil Jabatan Kesihatan Kelantan adalah menutup TASKA atau pusat jagaan kanak-kanak selama dua minggu jika terdapat kes HFMD dan tindakan itu dilihat berkesan.

Pada masa sama, ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan dinasihati untuk tidak menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak, TASKA, tadika atau sekolah sebaliknya dibawa ke klinik untuk menerima rawatan.


(GAMBAR FAIL)

Dalam perkembangan lain, sebanyak 78,727 kes COVID-19 dilaporkan sehingga 18 Jun lepas, bagaimana ia menunjukkan trend menurun secara ketara dengan kurang 50 kes bagi tempoh masa 16 April sehingga 22 Jun.

Media Baharu