fb fb fb fb fb

Henti cetus keresahan rakyat, rakyat penat - Saifuddin

(Saifuddin Nasution Ismail)

KULIM, 5 Disember- Ahli politik digesa berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan kepada rakyat yang sudah penat untuk berdepan permainan politik, selain masih terkesan dengan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses pelantikan Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri Kabinet telah diselesaikan dengan sempurna.
 
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membuat kenyataan terbuka bahawa usul undi percaya kepadanya akan dibuat di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 19 Disember ini.
 
Justeru, jelas Saifuddin, peluang tersebut boleh digunakan wakil rakyat pembangkang untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka mengikut saluran yang betul dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.
 
"Tidak perlu keluarkan kenyataan yang sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat, rakyat penat.

"Rakyat sedang menghadapi suasana pasca pandemik, ekonomi negara belum lagi dapat pulih sepenuhnya dan pendapatan rakyat masih terjejas.

"Kita (kerajaan) ada banyak kerja lagi sedang menunggu.Saya fikir cukuplah berpolitik yang berupa berbaur ancaman atau sebagainya. Itu kita selesaikan dalam dewan perundangan. Itu saya fikir lebih bijaksana dan lebih molek," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini.
 
Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan dua buah bot bernilai RM40,000 kepada IPD Kulim untuk kegunaan ketika musim banjir.

Beliau turut menyerahkan masing-masing lima unit komputer lima komputer kepada IPD Bandar Baharu dan Jabatan Sukarelawan (RELA) Kulim.

Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.

Dalam sidang media sama, Saifuddin memberitahu beliau bertekad untuk berusaha sedaya upaya menggalas jawatan Menteri Dalam Negeri sebaik mungkin dalam usaha memastikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain di bawah kementeriannya berperanan lebih proaktif.

(Saifuddin menyerahkan replika bot, simbolik penyerahan dua buah bot kepada IPD Kulim
untuk kegunaan musim banjir)

Media Baharu