fb fb fb fb fb

Hayati hijrah Rasulullah, tekad dan terus istiqamah - Anwar

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua umat Islam untuk tekad dan terus beristiqamah dalam kebaikan Sempena Sambutan Tahun Baru Maal Hijrah 1446.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, perjuangan bagi meraih cita-cita yang tinggi menuntut pengorbanan.

"Sesebuah daulah akan sentiasa dalam berkat kejayaan (falah) selagimana dipaculkan akhlak dan nilai-nilai yang mulia dalam kehidupan masyarakatnya.

"Menjelang tahun baru Hijrah 1446 ini, marilah kita bulatkan tekad untuk terus beristiqamah dalam kebaikan, berhijrah dari yang mungkar kepada yang makruf, dari kemelampauan kepada kesederhanaan, dan dari keangkuhan kepada ketawadukan dan kesyukuran.

"Semoga Allah SWT memberkati tiap langkah dan ikhtiar kita, kullu ‘am wa antum bi khayr," katanya.

Beliau juga sempat memetik peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah.

"Tatkala kita mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, harus jua kita mengingat episod derita dan sengsara yang telah menyelubungi umat selama bertahun lamanya.

"Namun baginda tetap mendidik umat agar bersabar dan yakin dengan janji-Nya," katanya.

Pada masa sama Anwar menyifatkan dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua boleh dicapai menerusi kekuatan rohani.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI