fb fb fb fb fb

Sarawak peruntuk dana yang besar untuk sedia perkhidmatan bekalan air

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi

KUCHING, 6 Julai- Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana yang besar dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata ia dilaksanakan oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sendirian Berhad.

"Semenjak tahun 2018, sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bawah peruntukan 'Alternative Funding' bagi melaksanakan 304 projek bekalan air yang kini masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan’’, katanya menerusi satu kenyataan media.

Setakat ini katanya, sebahagian besar projek tersebut iaitu sebanyak 262 projek telah disiapkan, 38 projek sedang dalam pembinaan manakala empat projek lagi sedang dalam perancangan.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak juga telah meluluskan siling peruntukan sejumlah RM809 juta bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi pelaksanaan 127 projek bekalan air.

"Secara keseluruhannya, sejumlah 431 projek bekalan air biayaan Kerajaan Sarawak sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 288 projek telah disiapkan, 44 projek sedang dalam pembinaan manakala 99 projek lagi sedang dalam perancangan" katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain daripada usaha untuk melaksanakan projek-projek baharu bekalan air, beliau memberitahu kerajaan negeri juga akan melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip lama serta uzur sepanjang 2,742 kilometer secara berfasa di seluruh Sarawak.

Ia membabitkan kos peruntukan berjumlah RM1.085 bilion ringgit melalui 'Alternative Funding'.

Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM247 juta telah diperuntukkan pada tahun ini untuk dilaksanakan dengan kadar segera.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE