Beliau berkata, sudah tiba masanya profesion kewartawanan tanah air diangkat ke tahap yang lebih tinggi agar peranannya terus berkesan dan dirasai masyarakat.
Melaka telah dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran HAWANA pada 29 Mei depan yang akan dihadiri wartawan dan pengamal media tempatan selain disertai wakil dari beberapa negara jiran termasuk Indonesia yang membuka ruang untuk pertukaran ilmu serta pengalaman dalam bidang itu.
“Tugas dan peranan bidang kewartawanan ini amat sinonim dengan membantu pembangunan negara, perjuangan negara dan negara bangsa...kalau kita boleh meraikan banyak profesion lain, adalah tidak wajar kita tidak memberikan pengiktirafan tertinggi kepada wartawan kita.
“Misalnya, HAWANA yang boleh dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga hari dengan pengisian merangkumi semua aspek dan elemen dunia kewartawanan yang boleh membangkitkan pemahaman masyarakat yang lebih luas terhadap peranan serta dunia kewartawanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Pengamal Media, semalam.
Majlis itu bagi meraikan pengamal media dan wartawan yang dihadiri ketua-ketua agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta ketua pengarang organisasi media tempatan.
(Annuar Musa meraikan kira-kira 300 pengamal media dalam satu majlis berbuka puasa di sini pada Selasa)
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan HAWANA 2022 manakala Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) dan Bernama akan menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022 yang melibatkan pelbagai organisasi, persatuan dan pengamal media yang lain.
Bagi meningkatkan nilai tambah kepada ekosistem kewartawanan negara khususnya melibatkan negara serantau, Annuar menyarankan agar agensi media tempatan membentuk lebih banyak kerjasama profesional dengan pelbagai agensi berita antarabangsa.
“Media kita (tempatan) tak boleh hanya berpandukan sesama sendiri semata-mata...saya mahu lihat lebih ramai wartawan kita menjalani penempatan dengan media luar supaya kita lihat perkembangan media luar selain bertukar idea, pengalaman dan bahan berita.
"Kerjasama dengan media luar juga dapat memperdalam lagi ilmu kewartawanan negara. Rangkaian kerjasama seumpama itu perlu dilakukan segera,” katanya.
Annuar berkata Bernama misalnya sudah menjalin kerjasama dengan media Indonesia serta Vietnam dan beliau amat berharap lebih banyak kerjasama dengan media dari pelbagai negara.
Pada majlis tersebut, kira-kira 300 pengamal media daripada pelbagai organisasi diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di sini.