fb fb fb fb fb

HASiL berjaya kutip RM16.95 bilion cukai tambahan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berjaya mengutip cukai tambahan termasuk penalti sebanyak RM16.95 bilion, membuktikan keberkesanan strategi dalam menangani ketidakpatuhan cukai tanpa mengira saiz perniagaan atau status individu.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, naratif HASiL itu menggambarkan perubahan signifikan ke arah penguatkuasaan yang lebih terancang, adil dan strategik.

"Kejayaan ini adalah hasil gabungan pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini serta kolaboratif strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang telah memperkukuh keupayaan HASiL dalam melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Ogos 2025, HASiL telah melaksanakan analisis risiko percukaian secara komprehensif yang membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam pelbagai sektor, diikuti pelaksanaan audit dan siasatan berdasarkan sumber maklumat dan teknologi analitik.

HASiL juga berjaya mengesan ketidakpatuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai melibatkan sebanyak 1,033 syarikat dengan jumlah cukai tambahan sebanyak RM15.2 bilion dan 321 individu (RM1.75 bilion).

Beliau turut menyeru pembayar cukai agar tidak menunggu sehingga ketidakpatuhan mereka dikesan melalui audit atau siasatan, yang akan menyebabkan penalti yang lebih tinggi dikenakan.

Katanya, HASiL sentiasa memastikan cukai dipungut dengan adil dan saksama kepada golongan yang layak dikenakan cukai.

"Sebagai agensi pentadbir cukai langsung di Malaysia, HASiL akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan membayar cukai dan tidak culas.

"Sehubungan itu, HASiL ingin menasihatkan semua pembayar cukai agar sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967," katanya.

Tambah beliau, pihaknya percaya melalui penguatkuasaan yang konsisten serta penggunaan teknologi terkini dan progresif, rangka kerja fiskal lebih adil dan berdaya tahan dapat dibina untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM