KUALA LUMPUR, 12 September – 'AI Cities: Shaping Our Digital Future' menjadi antara fokus utama sesi pembentangan sempena persediaan 'Smart City Expo Kuala Lumpur 2025' (SCEKL 2025).
Ketua Strategi Enterprise Digital Nasional Berhad (DNB), Prem Kumar Menon menegaskan terdapat empat bidang utama yang akan digerakkan melalui inisiatif bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
"Antara fokus tersebut ialah pembangunan bandar mampan dan berdaya tahan, keusahawanan digital serta pembangunan ekonomi, pemerkasaan komuniti melalui penyelesaian digital, selain tumpuan kepada AI Cities yang mengintegrasikan teknologi AI untuk mentransformasi sistem bandar agar lebih pintar, efisien dan mesra rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan bertajuk 'AI Cities: Shaping Our Digital Future' sempena sesi persiapan acara SCEKL 2025 di sini hari ini.
Tambahnya, hasil strategik daripada fokus tersebut merangkumi usaha mempamerkan contoh penggunaan teknologi ('use cases'), mencetuskan perbincangan inklusif, memperkukuh kerjasama rentas sektor serta memposisikan ASEAN sebagai hab inovasi yang berdaya saing bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
“Kita mahu memastikan transformasi bandar pintar berasaskan AI ini memberi manfaat secara saksama kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus membina ekosistem bandar masa depan yang inklusif dan berdaya tahan,” katanya.
SCEKL 2025 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 September di ibu negara minggu hadapan dijangka menghimpunkan pemimpin bandar, pemain industri, ahli akademia dan pembuat dasar bagi membincangkan hala tuju bandar pintar ASEAN.
