fb fb fb fb fb

Harumanis Fun Run tarik peserta seluruh negara

Harumanis Fun Run 2025 berjaya menarik penyertaan 300 peserta dari seluruh negara

KANGAR, 27 April- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis mengambil langkah proaktif dalam menghadapi musim pengeluaran Harumanis, ikon pertanian negeri itu yang turut menjadi tarikan utama pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2025.

Antara inisiatifnya, FAMA dengan kerjasama Koperasi YA Harumanis menganjurkan Harumanis Fun Run 2025 di Pusat Agropelancongan YA Harumanis, Kampung Baru Panggas, Chuping, yang berjaya menarik hampir 300 peserta dari seluruh negara.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Sekuriti Makanan dan Operasi FAMA, Shahrizan Sudiman, Harumanis Fun Run 2025 bukan sahaja bertujuan mempromosikan buah Harumanis yang kini sedang dalam musim pengeluaran sejak awal April, malah menjadi platform memperkenalkan produk agro-pelancongan negeri kepada pelancong domestik dan luar.

Beliau berkata, program berkenaan juga menyokong penganjuran Festival Perlis Mango and Agricultural Industry (PERMAI) 2025, gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Festival Mangga Harumanis Perlis yang dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 Mei 2025 di Dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis.

Tambah beliau, program seumpama itu mampu memperluaskan lagi promosi buah-buahan tempatan selain memacu pertumbuhan industri agropelancongan negeri.

Majlis pelepasan peserta larian sejauh lima kilometer itu turut diserikan dengan kehadiran Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan.

Selain Harumanis Fun Run, program turut dimeriahkan dengan jualan istimewa Mangga Harumanis, jualan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) berasaskan Harumanis serta Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE