TAPAH, 27 April- Manifesto yang dibentangkan oleh Barisan Nasional sebelum ini akan terus dijadikan rujukan utama dalam melaksanakan langkah-langkah awal pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir, tumpuan diberikan kepada agenda pembangunan berasaskan tiga peringkat dan tujuh tawaran utama seperti yang digariskan dalam manifesto berkenaan.
"Antara aspek yang kita fokuskan ialah memakmurkan ekonomi, melalui program-program tertentu, serta memberi perhatian kepada sektor pendidikan dan pembangunan infrastruktur. Bagi infrastruktur atau prasarana, kita kini sedang progreskan projek-projek baik pulih rumah seperti yang dirancang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas turun padang menyantuni penduduk setempat di kawasan Ayer Kuning sebagai ADUN baharu.
Mengulas lanjut mengenai kejayaan mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning, beliau merakamkan penghargaan kepada jentera parti, penyokong dan seluruh pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional.
Katanya, kerjasama erat antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan turut menjadi faktor penting kemenangan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan di kawasan berkenaan.