IPOH, 16 September- Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter Utara dari Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar ke Butterworth, Pulau Pinang memulakan operasinya secara rasmi hari ini.
Tambang percuma sehala bagi laluan terbabit ditawarkan kepada pengguna sehingga esok sempena sambutan Hari Malaysia.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, operasi laluan tersebut bakal merancakkan lagi perhubungan antara Ipoh dan Butterworth dari segi komersial, industri, pekerjaan dan sektor pelancongan.
"KTMB sedang melihat untuk memanjangkan lagi (laluan) komuter-komuter yang ada (antaranya) perkhidmatan ke arah selatan dari Ipoh.
"Cumanya kekangan yang ada sekarang kemungkinan daripada segi bekalan kereta api atau komuter, (tetapi) ini akan diusahakan oleh pihak KTMB," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan KTMB Open Day 2023 sempena sambutan Hari Malaysia di Stesen Ipoh di sini.
Loh berkata, penambahan tiga stesen terbabit iaitu stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar menjadikan jumlah keseluruhan 23 stesen bagi laluan utara baharu sehingga ke Padang Besar, Perlis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat KTMB, Mohamed Suhaimi Yaacob berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan sehingga 2,000 pengguna sehari.
"Kemungkinan penambahan sehingga 2,000 orang (sehari) atau lebih pada waktu puncak terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
"Ia mungkin akan digunakan oleh pelajar sekolah juga, sebab perjalanannya yang singkat dan cepat," katanya pada program sama.
(Loh Sze Yee dan Mohamed Suhaimi Yaacob)