fb fb fb fb fb

Hari Habitat Sedunia: Pengiktirafan peranan PBT, perkukuh daya tahan masyarakat

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

CYBERJAYA, 7 Oktober -Hari Habitat Sedunia merupakan pengiktirafan terhadap peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai wira barisan hadapan dalam memperkukuh daya tahan masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berpandangan majlis perbandaran, pihak berkuasa perbandaran dan pejabat daerah merupakan agensi tempatan yang paling cepat bertindak balas apabila masyarakat menghadapi gangguan, daripada banjir hingga kerosakan perumahan.

"Pengalaman Malaysia, sama ada dalam menggerakkan bantuan banjir dengan pantas, menyelaras pusat perlindungan kecemasan atau melaksanakan projek perintis bandar pintar, membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan yang kukuh dan berkeupayaan merupakan tulang belakang kepada pembangunan bandar yang berdaya tahan.

"Sumber, data dan kerjasama bersama komuniti amat penting bagi membina bandar dan penempatan yang lebih adaptif serta bersiap sedia menghadapi krisis pada masa hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Habitat Sedunia (SHHS) Peringkat Malaysia Tahun 2025 yang berlangsung, di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata pemberian keupayaan diperlukan kepada pihak berkuasa tempatan seperti akses kepada data masa nyata, pembiayaan mencukupi serta jalinan kerjasama kukuh dengan komuniti, adalah kunci untuk membangunkan bandar dan pekan yang lebih sesuai serta berdaya tahan.

Nga yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat berkata Malaysia menzahirkan iltizam untuk memperkasa Pihak Berkuasa Tempatan.

Ia juga memperluas kerjasama serantau dan global dalam membentuk bandar yang mampan dan sejahtera, memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada pembangunan mampan.

TETITIA YUSOFF