fb fb fb fb fb

Hari Afrika 2024, tingkat kerjasama ekonomi Afrika-Malaysia

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 1 Julai- Bagi menggalakkan kerjasama ekonomi Afrika–Malaysia, satu perbincangan berkaitan akan dianjurkan bersempena sambutan Hari Afrika 2024, yang akan berlangsung pada 3 Julai ini di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut satu kenyataan, program bakal dihadiri ketua-ketua Misi Afrika di Malaysia, bertujuan meningkatkan kerjasama ekonomi Afrika-Malaysia selaras tema sambutan Hari Afrika 2024 “Mempromosikan Perdagangan Afrika-Malaysia dan Peluang pelaburan”.

Para panel akan membincangkan hubungan dua hala Afrika-Malaysia terutama mengenai perdagangan, pelaburan, dan pendidikan.

“Ia (Hari Afrika 2024) juga bagi meraikan pencapaian Afrika dalam penyelesaian kepada isu-isu berkaitan termasuk keamanan, keselamatan dan pembangunan.

“Ini memandangkan Afrika mempunyai hubungan yang baik dengan Asia Tenggara khususnya Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Penganjuran Hari Afrika 2024 juga selaras dengan Agenda 2063 Kesatuan Afrika bertujuan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan.

Hari Afrika adalah peringatan tahunan Pertubuhan Perpaduan Afrika yang terbentuk pada 25 Mei 1963.

Ia kemudian dikenali Kesatuan Afrika pada 9 Julai 2002.

Acara itu juga akan mempamerkan kepelbagaian budaya, seni, makanan dan muzik dari seluruh benua Afrika.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM