fb fb fb fb fb

Harga siling baharu ayam diputuskan esok

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Harga siling baharu ayam dan kadar subsidi akan diputuskan esok dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata penetapan harga siling baharu itu juga akan diselaraskan mengambil kira bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Jelas beliau menerusi facebooknya, kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa dan akan terus memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan.

"Pembayaran tuntutan subsidi ayam kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari juga telah dipermudahkan dan sedang berjalan lancar.

Setakat ini, sebanyak 4,041 permohonan tuntutan subsidi telah diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)," katanya.

Semalam, Datuk Seri Dr. Ronald telah mempengerusikan mesyuarat khas isu bekalan ayam bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan (MOF) dan pemain-pemain industri penternakan ayam.

Menerusi mesyuarat itu, pelbagai isu berbangkit berkenaan bekalan dan harga pasaran ayam telah dibincang dan diperincikan selain mengambil maklum semua pandangan dan saranan pihak industri susulan keputusan supaya harga ayam tidak diapungkan.


(FOTO FB Dr Ronald Kiandee)

Media Baharu