fb fb fb fb fb

Kereta terjunam dalam sungai: Guru agama dan dua anak mati lemas

BALING, 26 Jun - Seorang guru agama dan dua anak lelakinya ditemui lemas selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

Kejadian berlaku di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, Kedah, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritenden Shamsudin Mamat berkata mayat Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dijumpai di dalam kereta jenis Proton Persona yang tenggelam di dalam sungai itu.

“Mayat guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong, Kuala Ketil itu ditemukan bersama dua anaknya yang merupakan murid tahun satu dan prasekolah di sekolah yang sama. Kesemua mereka yang tinggal di Lorong Kemboja, Sungai Petani itu memakai tali pinggang keledar.

“Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Masyitoh dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani telah hilang kawalan ke kiri jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat tiga beranak itu telah dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


(Anggota PPDA telah membantu memasang kabel bagi membolehkan kren membawa naik kereta itu ke darat)

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.42 petang semalam berhubung kejadian sebuah kereta terbabas ke dalam sungai.

“Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat selaman telah berjaya menemukan kereta berkenaan kira-kira pukul 1.41 pagi di kedalaman 25 kaki. Anggota PPDA telah membantu memasang kabel bagi membolehkan kren membawa naik kereta itu ke darat.

“Kereta itu berjaya dinaikkan pada 3.30 pagi dan kesemua mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 4.43 pagi,” katanya.

Media Baharu