JOHOR BAHRU, 13 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan harga petrol RON95, akan diturunkan sebelum hujung bulan ini, selari dengan komitmen kerajaan memastikan rakyat menikmati harga petrol yang lebih rendah berbanding harga sebenar di pasaran.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun mengambil sedikit masa, harga petrol tetap akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding harga semasa RM2.05 seliter.
“Tunggu sekejap. Tetapi turun ke tidak? Turun. Bukan rakyat RM2.50 atau RM2.60. Rakyat RM1.99. Bagitahu saya mana negara lain turunkan harga minyak? Tak ada. Jadi sebab apa? Sebab kita perintah, sebab kerajaan fikir rakyat, kita janji kita buat,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.
Penurunan harga petrol RON95 tersebut sekali gus menunaikan janji Kerajaan MADANI untuk meringankan beban rakyat.